My Blog List

Thursday, 14 April 2011

TIPS KE EMPAT: MENGETAHUI NAHWU (TATABAHASA ARAB)


Tahu Tatabahasa Arab Walaupun Sedikit

“Bab Nahwu aku memang out.”
“Tak nak belajar Nahwu lah, buat pening kepala je.”
 “Dah bertahun-tahun belajar pun masih tak faham-faham lagi.”
 “Ustaz, kalau belajar Bahasa Arab tanpa Nahwu boleh tak? Susah lah..”

Dialog-dialog keluhan di atas adalah antara dialog yang sinonim saya dengar di kalangan pelajar-pelajar saya tak kira peingkat usia. Mereka seakan-akan berasa fobia bila nak belajar Nahwu. 

             Sebelum kita pergi lebih mesra lagi dengan tajuk Nahwu ini perlu kita ketahui istilah perkataan Nahwu itu sendiri. Mungkin ada juga diantara anda yang masih tertanya-tanya atau masih belum mengetahuinya lagi. Ilmu Nahwu merupakan satu cabang ilmu bahasa Arab yang membahaskan tentang perubahan struktur yang terdapat di akhir sesuatu kalimah (perkataan) Arab sama ada ia dibaca rafa’(berbaris hadapan), nasab (berbaris atas), jar (berbaris bawah) ataupun jazam (baris sukun/mati). Dan sama ada berubahnya di akhir kalimah itu berupa barisnya ataupun hurufnya. 

             Adakah anda faham dengan istilah yang telah disebutkan di atas? Jika anda faham, saya ucapkan syabas. Tapi jika anda masih belum faham, jangan risau kerana saya akan cuba untuk menjelaskannya kepada anda dengan lebih praktikal. 

             Cuba anda perhatikan kepada contoh yang berikut ini. Ketika anda membaca Al-Quran , pernahkah anda akan terjumpa dengan perkataan seperti (المسلمون ) atau ( المسلمين ) ? Mungkin ada diantara anda punya perasaan ingin tahu dan tertanya-tanya, adakah maksud kedua perkataan tersebut sama atau berbeza, bukan?

             Atau pada contoh yang lain seperti , Zaid telah datang (  ( جَاء زَيْدٌ  atau ( رَأيْتُ زَيْدًا ) Saya telah melihat Zaid, dan (  مَرَرْتٌ بِزَيْدٍ ) Saya telah terserempak dengan Zaid

Jika anda perhatikan dan amat-amati dari kesemua contoh di atas, anda akan mendapati perbezaannya.

Contoh 1: 

PERUBAHAN
CONTOH
Kedua-dua perkataan pada contoh satu ini membawa maksud yang sama, iaitu orang-orang Islam tanpa merubah maknanya.
Hanya yang berubah adalah huruf di akhirnya. Iaitu   ( المُسْلِمُ + ون ) dan ( المُسْلِمِ + ينَ ).

المُسْلِمُونَ
Perubahan yang berlaku di sini adalah di hujung kalimah iaitu dari ( ون )  kepada ( ين ). Perubahan ini dinamakan berubah dari segi huruf.
المُسْلِمِينَ

Contoh 2:

PERUBAHAN
CONTOH
Zaid telah datang (زَيْدٌ ) Perkataan Zaid dibaca dengan rafa’ (beris depan).
جَاءَ زَيْدٌ
Saya telah melihat Zaid (زَيْدًا ) Perkataan Zaid dibaca dengan nasab (baris atas).
رَأيْتُ زَيْدًا
Saya telah terserempak dengan Zaid (بِزَيْدٍ ) Perkataan Zaid dibaca dengan jar (baris bawah).
مَرَرْتُ بِزَيْدٍ

             Perubahan-perubahan yang berlaku di dalam contoh yang pertama adalah berubah dari struktur huruf hujungnya sahaja manakala perubahan yang berlaku pada contoh nombor dua adalah berubah pada struktur barisnya. Perubahan dari baris depan kepada baris atas dan kemudian baris bawah.

             Kesimpulannya Nahwu adalah  setiap perubahan yang berlaku di akhir pada sesuatu kalimah dan berubahnya itu ada yang berubah dari hurufnya dan ada juga yang berubah dari barisnya.

Peri Hal Shorof

             Bagaimana pula dengan ilmu Shorof ? Satu lagi cabang ilmu bahasa Arab yang  juga kurang dikuasai oleh kebanyakkan pelajar. Pada dasarnya mereka yang sering berasa keliru dan tidak faham ini adalah mereka yang tidak boleh membezakan atau tidak memahami apakah sesuatu struktur kalimah/perkataan itu Shorof ataukah Nahwu? Apakah perbezaannya?   Apakah yang dibahaskan Nahwu dan Shorof ini? Disamping anda harus menghafal banyak perkara.

             Jawapannya, ya. Anda tidak dapat lari dari kedua ilmu tersebut  dalam mempelajari bahasa Arab kerana kedua cabag ilmu bahasa Arab itu mempunyai hubung kait antara keduanya. Hanya pembahasannya sahaja yang berbeza dan wajib difahami dengan teliti. Anda dinasihatkan agar memberikan focus yang lebih kepada Shorof kerana pembahasannya adalah sedikit lebih kompleks daripada Nahwu.

             Jika Nahwu membahaskan perubahan yang berlaku di akhir kalimah, maka Shorof pula membahaskan tentang perubahan pada sighah (bentuk kalimah Arab) yang bermula dari huruf aslinya, huruf yang ziadah (yang ditambah), huruf yang sohih sehingga huruf i’llat ( kalimah Arab yang diakhiri dengan ( ا و ي) .

             Contoh kata perbuatan yang telah berlaku (past)قَامَ) ) bererti Dia lelaki telah berdiri. Alif di tengahnya itu bukanlah alif yang asli kerana perkataanقَامَ)  ) alifnya berasal dari huruf  waw iaitu  ( قَوَمَ) . Bagaimana kita ingin mengetahui bahawa alif pada kalimah قَامَ) ) itu adalah waw? 

              Kita akan dapat mengenal pasti asal kejadian sesuatu perkataan Arab itu apabila kita tukarkan ia kepada kata perbuatan sekarang (present/ فِعْلٌ مُضَارِعٌ ) iaitu (قام -يَقُومُ ).  Jadi shighah (bentuk kalimah Arab) alif yang ditengah itu bukanlah asli.

               Dalam ilmu shorof juga kita akan mempelajari tashrif afa'l iaitu perubahan struktur bentuk sekaligus merubah maknanya. Selain itu Shorof juga membahaskan asal kejadian sesuatu perkataan dan juga membahaskan bina' (struktur binaan kalimah) dan wazan (timbangan) bentuk kalimah dan sebagainya yang perlu difahami dan diperhalusi.

             Kegunaan kedua ilmu ini apabila ia digabungkan maka dapat kita dapatlah kita fahami dan pelajari teks-teks bahasa Arab seperti yang termaktub dalam Al-Quran, hadis, bait-bait syair, serta qaul para ulama’. Tanpa Nahwu dan Shorof bahasa Arab kita akan menjadi tunggang terbalik susunannya menyababkan kalam (ucapan) kita tidak dapat difahami. Maklumat yang ingin disampaikan tidak jelas dan pasti berlaku loss communications ketika kita bercakap dengan orang Arab. 



            Berikut adalah sebahagian dari buku-buku Nahwu dan Shorof yang anda boleh jadikan ia sebagai rujukan. Tetapi perlu diingat, bahawa jika anda ingin mempelajari sesuatu ilmu , tidak kira ilmu apa sekalipun, anda hendaklah berguru agar anda tidak belajar dengan guru ghaib anda (Syaitan). 


Al Imam Al-Qhazali berkata di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin:

Sesungguhnya bahasa Arab dan Nahwu adalah suatu wasilah  (alat) untuk memahami Al Quran dan As Sunnah Nabi s.a.w. Keduanya bukanlah termasuk ilmu-ilmu syar’i akan tetapi wajib hukumnya mendalami kedua ilmu tersebut kerana syar’iah (hukum hakam) ini datang dengan bahasa Arab dan setiap syar’iah tidak akan jelas kecuali dengan suatu bahasa (bahasa Arab)”.

# Bagaimana sekarang? Adakah anda sudah jelas akan tatabahasa Arab? Setakat ini dalam tips-tips yang telah saya berikan merupakan perkara yang terlalu asas yang perlu anda ketahui untuk peringkat permulaan belajar bahasa Arab. Keterangan dan pembahasan yang lebih detail lagi akan dijelaskan dalam bab-bab yang akan datang. Jadi teruslah mengikuti sesi pembelajaran anda melalui blog kommuniti ini. Sila jadi follower saya untuk menghantar sebarang pertanyaan anda. Janganlah cepat berputus asa, teruskan usaha anda. Selamat Maju Jaya.  
- Muallim Omar -

No comments:

Post a Comment