My Blog List

Thursday, 28 April 2011

Tips Ke Enam : Wujudkan Persekitaran Bahasa Arab


Semangat Belajar Roller Coaster

                    Tips Ke Enam ini menyarankan kepada anda jika anda mengimpikan untuk bertutur dalam bahasa Arab, anda hendaklah sentiasa berada di dalam persekitaran Arab. “ Bagaimana caranya? Adakah saya perlu berada di negara Arab?”

                    Tidak perlu. Tidak semestinya anda perlu ke negara Arab untuk pandai berbahasa Arab. Dalam Tips Ke Enam ini anda hanya digalakkan untuk berada dalam lingkungan dan suasana Arab untuk memudahkan prosess pembelajaran anda. Apa perlunya anda menghadiri kelas, mempelajari bahasa Arab bertahun-tahun tetapi hasilnya masih tetap sama. Puncanya adalah anda tidak mempraktikkannya.

                     Semangat roller-coaster ini boleh berlaku pada kebanyakkan orang. Apabila mereka berada dalam crowd dia akan bersemangat kerana ada kawan-kawan bersama mereka. Ketika dalam kelas bukan main bersemangat, tetapi apabila sudah berada di rumah buku pun tak sentuh. Ulangkaji langsung tak pernah dibuat kerana semangatnya jatuh merudum. Kemudian bila hadir semula ke kelas@kuliah semangatnya kembali memuncak.

                    Hadir ke kuliah, kelas, pengajian di masjid-masjid akhirnya bila selesai kelas anda akan kembali masuk ke persekitaran dunia kebiasaan Melayu anda. Ada juga yang pulang ke rumah tapi disebabkan tiada partner  untuk diajak berbual bahasa Arab akhirnya energy level semangatnya semakin susut dan akhirnya bahasa Arab tersebut hanya menghiasi halaman dalam catatan notanya sahaja. Hasilnya amat menyedihkan.

Kurang Pendedahan Bahasa Arab

                    Perlu disedari bahawa di Malaysia kita tidak terdedah dengan persekitaran atau medium bahasa Arab dengan meluas. Media cetak dan media elektronik juga amat sedikit menyiarkan program -program berbentuk bahasa Arab. Kalau adapun ia hanya bermusim seperti "Geng Bahasa Arab". Rancanagn tersebut amat bagus anak-anak murid saya amat menyukainya. Tetapi bila penyiarannya tamat terus lenyap begitu sahaja.

                 
                         Kesedaran ini tidak diwar-warkan sepertimana pentingnya penggunaan bahasa Inggeris sedangkan majoriti penganut agama negara ini adalah Islam dan menjadi agama rasmi negara kita.  Tidak dinafikan bahawa bahasa  Arab dan ajaran Islam amat sinonim umpama isi dengan kuku yang  tidak dapat dipisahkan. 

                    Sebagai Muslim, samada sedar atau tidak setiap hari kita sebenarnya terdedah dengan bahasa Arab bermula dari kita bangun tidur sehingga kita memejamkan mata semuanya dengan bahasa Arab. Bagi yang sedar mereka sebenarnya membaca doa bangun dari tidur (dalam bahasa  Arab), masuk keluar tandas, makan, minum, solat, zikir sehingga doa sebelum tidur juga semuanya dalam bahasa  Arab.

Pendapat saya, alangkah seronoknya jika semuanya itu dapat difahami akan maksudnya dan bukan hanya dilafazkan di bibir tanpa mengetahui sepatah perkataan pun.  

Bahasa Percakapan Vs. Bahasa Penulisan

                    Perlu diketahui bahawa bahasa percakapan adalah bahasa yang dibualkan dalam seharian kita sudah tentu ia tidak serupa dengan gaya bahasa dalam penulisan. Bahasa percakapan lebih bebas dalam penyampaiannya sungguh pun tatabahasanya tidak tepat.Yang penting anda ada banyak perbendaharaan dalam kamus minda anda dan anda kreatif dalam mengolah ayat tersebut.

                    Bahasa percakapan memerlukan kemahiran berkomunikasi  yang disertakan dengan emosi dan ekspresi ketika berbual manakala bahasa penulisan pula mempunyai garis panduan yang tertentu, gaya bahasa, tatabahasa, idea (fikrah)  dan sebagainya dalam penulisan.  Jadi tidak perlulah kita bercakap seperti ayat atau frasa dalam buku, nanti digelak dek orang ramai pula.

Anugerah Jiran Yang Budiman

                    Bagi mereka yang baru bertatih bahasa Arab anda dinasihatkan agar tidak terikut-ikut atau meniru-niru bahasa percakapan Arab pasar (Ammiyyah) kerana diperingkat awal anda sedang memprogram minda anda. Jadi jika minda telah diprogramkan dengan bahasa pasar terlebih dahulu sebelum belajar bahasa yang formal (Fushah) anda akan terkesan dengan bahasa pasar itu.

                    Saya ingin berkongsi cerita melalui pengalaman dengan anda tentang implikasi dari mempelajari  bahasa Ammiyah terlebih dahulu sebelum bahasa Fushah. Begini ceritanya. Sewaktu saya belajar bahasa Arab di Republik Arab Syria 2003, saya telah tinggal sebumbung dengan beberapa rakan Melayu yang lain. Sejak awal menjejakkan kaki ke Dataran Syam itu saya telah menyematkan keazaman yang tinggi untuk mendalami bahasa Arab.

                    Saya tidak mengendahkan ajakan rakan-rakan yang terlalu obsess untuk berjalan-jalan dan meninjau-ninjau kota Damascuss yang tenang pada musim bunga yang indah itu. Sebaliknya saya memanfaatkan dengan berkenal-kenal dengan jiran yang tinggal satu aras dengan saya di tingkat satu. Dan keluarga A'mmu Elyas dan 3 orang anaknya yang comel pemilik kedai di deretan kedai di bawah rumah saya. Perkataan A'mmu adalah panggilan yang membawa maksud pakcik dalam bahasa Arab.

                    A'mmu Elyas adalah anak kelahiran dari Palestin yang telah menjadi pelarian bersama kedua ibu bapanya serta seorang adik perempuan pada 1948. Menurut A'mmu Elyas rejim Zionis Yahudi  laknatullahi a'laihim telah menyerang, membunuh, mengusir dan merampas harta benda dan tanah penduduk di perkampungan beliau di A'kkah. Beribu-ribu rakyat Paltesin telah menjadi pelarian dan memohon perlindungan dari pemerintah Syria. Pemerintah pada ketika itu adalah Shukri al-Quwatli telah membenarkan pelarian Palestin ini untuk berlindung di Syria. Kini penempatan tersebut diberi nama Mukhayyam Palestine dimana saya dan rakan serumah merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang tinggal di situ.

                    Saya suka mendengar cerita suka duka beliau yang amat menarik perhatian saya. Saya berasa beruntung berjirankan dengan orang-orang Palestine ketika belajar di Syria. Mereka semua baik-baik dan suka membantu kami. Lebih-lebih lagi bila berpeluang mendengar cerita  dari mulut mereka ketika hidup dengan penuh mujahadah sewaktu di Palestine.

                    Rasa berbeza sekali feel bila dengar dari mulut orang yang telah melalui pengalaman hidup di sana dengan cerita dari mulut orang yang menceritakan tentang cerita orang lain kepada kita. Kerana cerita itu bukan dari pengalaman dirinya sendiri. Rasa seperti feel tu 'kureng' sikit. Beliau juga banyak bertanyakan tentang negara Malaysia kerana perasaan yang kuat untuk tahu. Pada ketika itu nama Tun Mahathir Mohamed amat popular dari nama negara Malaysia.

                    Saya amat mengagumi sifat sabar A'mmu Elyas yang sangat luar biasa. Beliau sangat sabar mendengar cerita dari saya yang hanya seorang budak a'jam (bukan bangsa Arab) seperti saya. Pada ketika itu yang belum fasih bahasa Arab. Tetapi saya selalu cuba untuk present cerita yang menarik tentang tanahair saya Malaysia. Walaupun beliau tidak memahami keseluruhan cerita saya, beliau dan anak-anaknya setia dan sedia untuk mendengar.

                    Ahmad dan Fathilah yang paling banyak bertanyakan soalan  "ganjil dan janggal" kepada saya. Soalan yang paling kelakar yang tidak dapat saya lupakan ialah "Ya Mua'llim Omar hal hunaka asyjaar?" (Wahai Sdr.Omar, adakah di sana (Malaysia) terdapat banyak pokok-pokok?"  Bagaimana soalan sebegitu boleh muncul.

                    Rupa-rupanya orang Arab ni masih ramai lagi yang tidak tahu di manakah letaknya negara Malaysia dalam peta dunia. Yang sedihnya lagi ada yang mengatakan bahawa Malaysia tu terletak di benua Afrika. Barangkali negara Mali yang mereka maksudkan. Sebab itu lah soalan 'pokok' tadi tu timbul. A'mmu Elyas hanya tersenyum memerhatikan gelagat saya melayani anak-anak comelnya. Sebelum beredar A'mmu Elyas selalu menepuk-nepuk bahu saya sambil memberi nasihat "Teruskan mencuba (bahasa Arab) dan usaha lagi" sebagai satu motivasi buat diri saya.

Sahabat Cilik Saya     
              
                    Anak-anak comel seperti Ahmad (11), Fathi (9) dan Muna (6) tahun adalah sahabat-sahabat cilik (kecil) saya. Jika anda pergi ke negara Arab mereka akan memandang kita  ni aneh. Bagi mereka rupa paras dan pertuturan kita begitu asing bagi mereka tapi boleh bercakap bercakap Arab. Saya tidak tahu  apakah yang  sedang diimigenasikan dalam kotak fikiran anak-anak kecil ini. Mereka memandang saya, berbisik dan tersenyum sambil menampakkan beberapa batang gigi mereka yang rongak tapi masih cute itu.

                    Saya juga kagum melihat A"mmu Elyas dalam mendidik anak-anak kecil beliau menjadi lebih dewasa. A'mmu Elyas melatih Ahmad dan Fathi untuk belajar berdikari dan belajar secara praktikal di kedai runcitnya. Kadang-kadang sewaktu A'mmu Elyas pergi membeli barang-barang dari pembekal kerana kehabisan stok, solat, berehat, maka anak-anak kecil yang akan mengambil alih tugasan ayah mereka.

                    Mereka mengenal setiap barang dan tahu semua sebut harga bagi setiap item dalam kedai ayahnya. Mereka tahu menggunakan alat penyukat dan menimbang. Semuanya dilakukan perfect dan terlatih bagi anak seusia Ahmed 11 tahun. Nampaknya pendidikan asas perniagaan yang praktikal seperti menyambut tetamu dengan senyuman dan memberi tanggungjawab kepada anak agar mereka tahu berdikari bila dewasa nanti adalah suatu yang sangat unik bagi saya.
                    Pernah saya bertanya kepada Ahmed bagaimana dengan pelajaran beliau. Bagaimana beliau membahagikan masa dengan pelajaran. Menurut Ahmed, pulang dari sekolah beliau akan tukar persalinan dan bergegas ke kedai untuk membantu ayahnya. Sewaktu di kedai sementara tiada pelanggan yang datang membeli barang, dia akan mengulangkaji pelajarannya. Ahamed memberitahu saya beliau selalu menduduki nombor 1 dalam kelas dan A'mmu Elyas membenarkan kata-kata anaknya.

                     Jika A'mmu Elyas tiada di kedai saya akan datang untuk berjumpa dengan anak-anak beliau. Tujuan saya ialah saya ingin berkongsi pengalaman belajar dengan kanak-kanak arab. It's so fun. Ahmed dan Fathi sangat seronok berbual dengan saya. Nota dan pen sudah bersedia untuk menulis. 

" Ahmed yang di kiri kamu itu namanya apa?" soal saya. 
"Yang mana?" Ahmed kebingungan tidak faham apa yang saya maksudkan.
"Itu tu, yang berwarna kuning." sambil menudingkan jari telunjuk saya.
"Ooh! yang ini. Ini namanya Zait Dzurrah (minyak jangung)".
"Saya tidak faham apa yang kamu cakapkan tadi, minta maaf"

                    Punca ketidakfahaman Ahmed adalah berpunca dari saya kerana tersilap ingin mengatakan KIRI ( شِمَال ) dalam bahasa Arab tetapi saya tertukar dengan perkataan ( شَمَالٌ ) bermaksud UTARA. Saya terkeliru dengan baris (شَ)  dan (شِ).  Perkataan sama tetapi baris yang berlainan juga membawa makna yang berbeza.

                    Ahmed sangat peramah budaknya. Tidak lokek untuk mengkongsikan ilmu beliau dan banyak mengajar saya mengenali pelbagai nama barangan yang dijual di kedai runcit ayahnya. Saya kerap ke kedai A'mmu Elyas dan berbual-bual bersama Ahmed dan Fathi. Mereka adalah jiran yang sangat baik hati. Pernah suatu hari saya dan sahabat serumah terkena musibah food poisioning (keracunan makanan) yang teruk. Kami serumah muntah-muntah dan ciri birit. Berulangkali ke tandas bergilir-gilir.

                    Tiba-tiba pintu rumah kami diketuk. Pintu dibuka dan A'mmu Elyas menberi salam dan bertanyakan khabar kami serumah kepada Fadli teman serumah saya yang tetika itu dia juga tidak bermaya. Saya tidak pasti apa yang ditanyakan kerana ketika itu saya hanya separuh sedar antara dengan tidak. Kemudian beliau beredar.

                    Antara kami bertiga sayalah yang paling kritikal. Mungkin sudah dua hari tidak melihat kelibat kami bertiga telah membuatkan beliau datang menjenguk kami. 20 minit kemudian pintu rumah kami diketuk semula. Sekali lagi Fadli yang membuka pintu dengan kudrat yang masih ada. Saya dan Rodhi hanya terbaring lesu. Kali ini A'mmu Elyas datang tidak keseorangan. Rupa-rupanya beliau telah bergegas ke klinik berhampiran dan telah membawa doktor ke rumah kami.

                    Pada waktu itu saya hanya mampu mengalirkan air mata terharu dengan sifat Ar Rahman Allah S.W.T kerana mengurniakan kami jiran yang prihatin. Bagaimanakah insan yang tiada ikatan tali persaudaraan, bukan sebangsa dan sebahasa dangannya berusaha membantu saya dan rakan-rakan serumah yang ketika itu berada dalam keadaan darurat. Waktu itu saya belum mampu memiliki hand phone lagi. Doktor masih berusaha merawat kami. Kami telah diberi suntikan dan diberi ivy kerana telah banyak kehilangan air dalam badan selama 2 hari ini.

                    Keesokkan paginya Ahmed telah datang ke rumah menghantarkan makanan khubz Syaami dan labnah sebagai sarapan pagi kami bertiga. Alhamdulillah petang itu doktor datang sekali lagi  untuk membuat pemeriksaan susulan dan kami telah disahkan pulih. Kami dinasihatkan agar meminum banyak air. Kami  juga sempat bertanyakan tentang bayaran rawatan ke rumah kepada doktor. Doktor tersebut memberitahu tidak perlu bayar kerana semuanya telah diuruskan oleh A'mmu Elyas.

                    Masya Allah, saya amat menginsafi dengan kebesaran Allah S.W.T dengan ilmu kejiranan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W telah dipraktikkan di sini. Bertapa besarnya tanggungjawab menunaikan hak jiran kita. Cuba tanya diri kita

"Siapa nama jiran pintu sebelah rumah kita? Berapa orang isi rumah itu?". Jawapannya, "Tidak tahu !."

Tahu Membezakan Bahasa Fushah Dan Ammiyah
                    Saya amat suka mendengar orang Syria ketika bercakap. Nada dan intonasi lahjah (loghat) Syam mereka sungguh sedap didengar walaupun ketika itu bahasa Arab saya tidaklah begitu memuaskan. Seperti kebanyakkan orang lain, pada ketika itu tahap penguasaan bahasa Arab saya masih berada di tahap yang kedua.

                    Pertama kali tiba di kota Damascuss saya akan berasa berdebar-debar sewaktu hendak keluar rumah bersama dua orang sahabat saya Mujib dan Azmi. Terutama setiap kali pergi ke kedai untuk membeli barang. Pada mulanya kami selalu bertiga kerana kami akan saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain . Kalau saya tak tahu Arab, Azmi akan tolong atau Mujib yang akan cuba bercakap dalam keadaan yang tersekat-sekat. Memang lucu kalau dikenangkan waktu itu, apabila kami membeli barang, lain yang diminta lain yang dapat.
                    Saya terus beri focus pada azam saya. Ramai kawan-kawan yang datang seangkatan dengan saya mereka belajar juga bahasa Arab, tetap bahasa Arab Ammiyyah.  Saya melihat mereka sangat obsess belajar bahasa Ammiyah kerana ingin mendapatkan kawan Arab.

                    Satu hari apabila saya mengadakan sedikit majlis kesyukuran, saya menjemput rakan-rakan Melayu dan Arab ke rumah, saya perkenalkan rakan-rakan Arab kepada rakan-rakan Melayu. Disebabkan lokasi rumah yang berjauhan dan kuliah yang berbeza kami jarang-jarang berjumpa. Dengan cara begini kami dapat bertemu dan bertukar-tukar pengalaman belajar di tempat masing-masing.

                    Saya bersyukur mempunyai rakan-rakan Arab yang mahu bertutur dalam bahasa Arab Fushah. Mereka akan menegur dan memperbetulkan perkataan, sebutan dan juga ayat Arab jika saya tersilap. Apabila saya perhatikan sahabat-sahabat saya, mereka agak kekok ketika berbual dengan rakan-rakan Arab saya.  

                    Keesokkan harinya di kuliah, apabila saya bertemu dengan Muhammad rakan Arab yang hadir ke rumah saya semalam, berkenaan perbualan mereka dengan sahabat-sahabat Melayu saya, dia memberitahu bahawa kelemahan mereka ialah banyak menggunakan bahasa Ammiyah ketika berbual dan dan sahabat-sahabat Arab saya telah menegur dan memperbetulkan percakapan rakan-rakan Melayu saya dengan bahasa Fushah.

Kesan Dan Impikasi Bahasa Ammiyah

                    Implikasi dari mendahulukan pempelajari bahasa Ammiyah ialah perkataan-perkataan Ammiyah yang anda gunakan tersebut akan melekat di kotak minda anda dan anda akan meyakini bahawa makna perkataan tersebut adalah perkataan yang diguna pakai oleh Arab kerana ianya telah biasa diucapka oleh orang Arab. Seperti perkataan Air dalam bahasa Arab Fushah ialah ( مَاءٌ ) tapi dalam bahasa Ammiyah ia di sebut sebagai Maiyy atau Moya. Apabila rasa percaya itu sudah disemat, maka yakin pula terpahat. Implikasinya nanti adalah anda akan terkeliru yang mana satukah perkataan yang Fushah dan yang mana satu perkataan Ammiyah seperti rakan-rakan saya. 

                    Implikasi lain juga seperti anda tidak dapat memahami keseluruhan teks dengan baik kerana perbendaharaan kata dalam kotak minda anda adalah Ammiyah dan bukan Fushah. Jika anda cuba fikirkannya juga anda tidak akan menemui perkataan tersebut dalam kamus minda anda. Sedangkan jika anda ingin mempelajari kitab hadith, fiqh, mendengar ceramah dalam bahasa Arab, bahkan bacaan ketika solat, doa harian dan membaca Al Quran bahasa yang digunakan adalah bahasa Arab Fushah 100%. Dan tiada satu pun kitab yang menggunakan bahasa Amminyah.

                    Bukan bahasa Ammiyah tidak bagus, tetapi jika anda dalam pembelajaran di tahap 1, anda tidak dapat tidak untuk mempelajari mengenal benda-benda dan frasa-frasa ayat yang mudah  dalam bahasa Fushah. Bahasa Ammiyah boleh dipelajari sekirangan anda tiada mengalami masalah kekeliruan dan anda adalah seorang yang rajin membelek kamus.

                    Bahasa Ammiyah sesuai digunakan apabila kita bergaul dalam masyarakat Arab. Mereka akan menjadi mesra jika kita boleh bertutur dalam bahasa harian mereka. Komunikasi antara kita dan mereka menjadi lancar. Silap-silap kita dibelanja minum syai majjanan. Senario ini berlaku di tempat-tempat umum seperti kedai, pasar, ketika berbual dengan sahabat karib kecuali ketika majlis-majlis rasmi, surat menyurat, khutbah Jumaat, cermah agama dan sebagainya mereka akan menggunakan bahasa formal Fushah.

                    Kesimpulannya ialah, jika anda ingin mempelajari bahasa Arab mulakanlah dulu dengan bahasa Arab Fushah dan secara tidak sedar bahasa Ammiyah anda akan dapat memahaminya secara tidak langsung sedikit demi sedikit. Kerana bahasa Ammiyah (bahasa pasar) hanya diguna pakai ketika kita bertutur dengan orang Arab dan bukannya bahasa formal yang digunakan untuk pembelajaran ilmiah.

# Bagaimana dengan Tips Ke Enam ini ? Sudahkan anda mendapatkan pelajaran yang tersirat disebalik kisah pengalaman di atas? Saya harap anda dapat belajar sesuatu darinya. Sesungguhnya pengalaman itu telah mengajar saya memahami erti nilai suatu ilmu tentang kemanusiaan.
- Mua'llim Omar -

Friday, 22 April 2011

Tips Ke Lima: Tahu Bagaimana Cara Orang Arab Berfikir


Cara Penterjemahan Pondok Paling Mudah Dan Praktikal

             Harus tahu bagaimana cara orang Arab berfikir, bagaimana tu? Pada tips yang ke lima ini saya akan menerangkan kepada anda bagaimana cara orang Arab berfikir agar frasa ayat yang ingin kita bina itu tersusun elok dan dapat difahami.

             Jika anda ingin membina frasa ayat dalam bahasa Arab dan anda cuba untuk menterjemahkannya dari bahasa Melayu ke bahasa Arab sudah pasti ayat tersebut akan jadi tunggang terbalik susunan ayatnya sekaligus sukar untuk difahami maksud yang ingin anda sampaikan.

             Tips kali ini saya akan berikan beberapa contoh frasa ayat beserta makna setiap kalimah Arab dan saya juga akan membantu anda untuk memahami bagaimana menjadikan ia ayat yang betul dan dapat difahami.

Cuba anda perhatikan beberapa contoh di bawah ini dan perhatikan susunan ayatnya.

عًلِيٌ رَكَضَ إلَى السَّيَّارةِ
السَّيَّارَةِ
إلَى
رَكَضَ
عَلِيٌ
the car
to
ran
Ali
kereta
ke
telah berlari
Ali


1.     Penggunaan Kata Nama/ اسم /Nouns boleh diletakkan pada awal ayat seperti contoh di atas.

أحْمَدُ فَتَحَ البَابَ
مفعول به
فعل ماض
اسم
البَابَ
فَتَحَ
أحْمَدُ
Object
Verb
Nouns
The door
opened
Ahmad
Objek
Perbuatan
Kata Nama
pintu
Telah membuka
Ahmad

2.Begitu juga dengan susunan (Kata Nama-Perbuatan-Objek /Nouns-Verb-Object /  اسم-فعل-مفعول به ) Kata Nama dijadikan sebagai kata awalan atau perkataan yang pertama sekali dalam ketiga-tiga bahasa ini.

فَتَحَ عَلِيٌّ البَابَ
مفعول به
اسم
فعل
البَابَ
عَلِيٌّ
فَتَحَ مضارع
Object
Nouns
Verb
the door
Ali
Opened
Objek
Kata Nama
Perbuatan
pintu
Ali
Telah membuka

3.Jika anda perhatikan contoh yang ke tiga di atas, Kata Perbuatan telah dijadikan sebagai kata awalan. Jika dalam penggunaan bahasa Arab ia boleh berlaku iaitu kalimah فعل  mendahului kalimah اسم tetapi susunan ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu dan Inggeris; Telah membuka  Ali pintu @ Opened Ali the door. Bunyinya amat janggal sekali bukan?

يَفْتَحُ عَلِيٌّ البَابَ
مفعول به
اسم
فعل
البَابَ
عَلِيٌّ
يَفْتَحُ
Object
Nouns
Verb
the door
Ali
Opens
Objek
Kata Nama
Perbuatan
pintu
Ali
Sedang membuka

4.Susunan ayat di atas juga adalah betul dalam penggunaan bahasa Arab untuk waktu perbuatan yang sedang dilakukan/ فعل مضارع / present tense, tetapi tidak boleh digunakan dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris: Sedang membuka Ali pintu.

افْتَحِ البَابَ
مفعول به
 فعل أمر
البَابَ
افْتَحِ
Object
Verb (jussive)
the door
Open
Objek
Perbuatan
pintu !
Buka

5.Dalam contoh yang ke lima di atas ia boleh diterima oleh ketiga-tiga bahasa Melayu, Arab dan Inggeris iaitu ketika ayat perintah/ فعل الأمر / jussive-objek/ مفعول به /object; “Buka pintu !” 

Masih ada 20 contoh baki pola ayat yang harus anda pelajari tetapi bukan di sini kerana jika anda ingin mengetahui jenis pola ayat yang 20 tersebut anda harus hadir ke kelas dan belajar dengan berguru. 

Untuk huraian dari keseluruhan contoh di atas dan kesimpulannya sila baca dalam tajuk kecil yang berikut. Sila gali lagi apakah rahsianya.

Kisah Dari Pondok Buruk Itu….. 

Maka telah dipukul akan Ali itu oleh Ahmad”  bunyinya macam kelakar sahaja. Hati kecil saya tertawa sewaktu duduk di serambi masjid sambil mendengarkan pengajian Kitab Nahwu Al-Wadhih yang sedang dibacakan  oleh bapak Sutrisno di Pondok Pesantren Sirojuth Tholibin, Indonesia pada 10 Setember 1993 masih terpahat jelas di ingatan saya. Ketika itu saya  berumur 13 tahun.

             Saya merupakan pelajar lepasan sekolah pondok di Pondok Pesantern Sirojuth Tholibin, Brabo di Jawa Tengah Indonesia. Saya telah di hantar oleh ibu dan bapa saya atas pilihan dan kehendak dari diri saya sendiri dan bukan paksaan.


             Sebahagian orang-orang lama mereka lebih mesra menyebut dengan panggilan Tanah Jawa. Mungkin saya boleh istilahkan pusat pengajian ilmu agama Islam yang berkembang pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan ini sebagai satu institusi pendidikan yang hebat.

             Bukan untuk membanding-bandingkan sistem pondok di Malaysia  dengan di Indonesia atau Selatan Thailand, tetapi melalui pengalaman saya masing-masing memiliki pendekatan masing-masing dalam menggembeling para santri dan pelajar mereka dalam mendalami ilmu agama Islam.

             Contohnya di Indonesia pengajian pondok pesantren tradisional amat berbeza dengan pesantren moden. Jika pondok moden serba serbi lengkap dan dibawah tajaan yayasan dan silibus yang digunakan juga bersiatem dan banyak yang sudah diterjemahkan kedalam bahasa Indonesia. Manakala pondok tradisional ia masih mengekalkan cara lama yang dibawa oleh para ulamak yang terdahulu demi melestarikan  tradisi pengajian pondok agar ia dapat diwarisi untuk generasi yang akan datang.

             Anda pernah mendengar istilah kitab kuning? Istilah ini digunapakai oleh orang kita di Malaysia merujuk kepada kitab-kitab pengajian yang digunakan di pondok-pondok khasnya di Nusantara. Jika di Indonesia ia disebut Kitab Gundul (botak). Kenpa botak? Kerana kitab tersebut adalah kitab arab yang tiada baris hanya tulisan sahaja. 

             Walaupun kosong tanpa baris tapi pelajar-pelajar pondok boleh membaca dan menterjemahkannya dengan sebuatan baris yang betul kerana mereka telah belajar  dan diajar dengan ilmu Nahwu dan Shorof dari kitab asas sekecil Matan Imrithi sehingga Syarah Kitab Ibnu A’qil Ala Alfiyyah Ibnu Malik. 

             Selama 5 tahun belajar di Tanah Jawa saya berasa teruja kerana berpeluang untuk belajar dangan satu sistem yang begitu praktikal dan saya juga telah dianugerahkan dengan guru-guru yang berkaliber. Saya berasa amat bersyukur kerana saya juga telah diberikan kelas-kelas private untuk belajar ‘one to one’ dengan guru yang terpilih sahaja oleh Bapak Kyai Hj.Baidlowie Hj. Shamsuri selaku pengetua pondok. Keistimewaan ini tidak pernah diberikan kepada mana-mana santri pun sebelum ini.

             Kini sudah 11 tahun saya tinggalkan Tanah Jawa yang telah meninggalkan 1001 kisah suka dan duka yang tidak ternilai harganya dalam lembaran sejarah hidup saya.  

“Ya Allah, Eangkau ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku dan guru-guruku…..”Amin

Impak Bahasa Kitab Pondok Lama

             Narratiwat, Yala (Thailand), Pondok Bukit Jong (Terengganu), Pondok Penanti (Pulau Pinang), Pasir Tumboh (Kelantan), Gontor, Tebu Ireng (Indonesia) adalah antara pondok-pondok yang terkenal denagn pusat pengajian agama Islam yang telah banyak menyumbangkan jasanya kepada masyarakat di seluruh Nusantara.

             Jika dikaji ada banyak persamaan gaya dalam penyampaian ilmu dari tok guru kepada para muridnya dari bahasa Arab kepada bahasa Melayu. Pada mulanya pengalaman saya mengikuti pengajian kitab kuning adalah amat sukar dengan Nahwu dan penterjemahan setiap kalimah kedalam bahasa Indonesia. Walau sudah dibaca sempurna keseluruhan ayat tapi saya masih sukar memahaminya.
             
 Para tok guru menggunakan kaedah lama seperti contoh ayat yang tuliskan di awal tajuk Kisah Dari Pondok Buruk Itu….. Ayat yang tidak tersusun itu membuatkan saya bingung. Tapi saya pelik bagaimana semua pelajar boleh faham tetapi bukan saya. Tetapi apabila saya mentelaah dari kalimah ke kalimah, dari pola ayat dan seterusnya, saya dapati ada cara yang lebih mudah untuk memahaminya. 

             Sebagai contoh; ( مَرَرْتُ بِزَيْدٍ )  jika mereka yang tidak tahu cara memberikan maksud ayat di atas mereka akan memaknakan contoh tersebut dengan ; “Saya telah berlalu dengan Zaid”. Ayat tersebut telah diterjemahkan dengan makna yang tidak tepat dan telah memberikan fahaman yang salah. Maksud ayat tersebut bukan saya lalu bersama-sama Zaid tetapi terjemahan yang sesuai adalah “Saya telah terserempak dengan Zaid”. Saya berjalan berseorangan dan tiba-tiba terserempak dengan Zaid.

             Jika dalam memberikan makna pada setiap kaliman dan kemudian anda cuba terjemahkannya kedalam bahasa Melayu anda akan dapati ayat tersebut tidak tersusun, tetapi jika anda memahami pola ayat tersebut dan tahu bagaimana mengolah ayat dengan maksud yang tepat maka anda akan mencapai maksud susunan keseluruhan ayat tersebut dengan tepat.

             Tapi bagaimana pelajar-pelajar pondok boleh faham dengan terjemahan ayat yang terbalik. Sewaktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke Pondok Pesantren Sirojuth Tholibin dulu, saya telah diberikan sebuah buku kecil yang mengandungi lapan muka surat. Terdapat di dalamya jadual dan panduan yang perlu dihafal dan difahami penggunaan kod-kod Nahwu seperti ( م ) adalah symbol bagi mubtada dan ( خ ) adalah symbol bagi khobar mubtada dan ( ص ) adalah singkatan bagi sifat yang telah diterjemahkan dan disesuaikan dengan bahasa jawa. 

             Jadi apabila tok guru membacakan kitab Arab tanpa baris, dia akan menyebut perkataan Arab tersebut dengan (  مُحَمَّدٌ ) utawi Muhammad (dalam bahasa jawa) bermaksud mubtada’ dan dengan pantas pelajar meletakkan simbol ( م ) pada kalimah Muhammad dengan baris hadapan kerana mubtada’ marfu’ dengan dhommah.

            Mungkin agak sukar untuk dijelaskan di sini kepada sesiapa yang tidak pernah mengikuti pengajian  di pondok kerana banyak lagi simbol-simbol Nahwu yang telah disistemkan menjadi kod untuk memahami makna setiap perkataan dan perubahan barisnya. 

Penjelasannya ada diterangkan di dalam kelas saya.