My Blog List

Thursday 24 March 2011

Bahasa Al-Quran: Antara Keperluan Dan Kehendak



“Assalamualaikum Ustaz, saya teringin nak belajar Al Quran lah beserta maksud perkataannya sekali.” tanya seorang makcik kepada saya ketika perbualan ditelefon.

“Alhamdulillah…baguslah tu makcik, seelok-eloknya memang begitulah. Sebagai orang Islam kita digalakkan mempelajari bahasa Al-Quran supaya dapat memahami isi kandungannya.”saya membalas.

“Tapi Ustaz, saya ni membaca Al-Quran ni tak berapa reti. Kalau sekadar kenal-kenal huruf tu bolehlah.” sambungnya.

             Saya sedikit terkejut dengan kata-kata makcik tersebut, hajat beliau sangat mulia untuk mempelajari makna setiap patah di dalam Al-Quran, cuma dia tidak tahu dimana sepatunya dia mulakan. Perkara seumpama ini juga mungkin berlaku kepada diri kita, sebagai seorang Muslim kita tidak terlepas dari mempunyai rasa keinginan yang tinggi untuk memahami isi kandungan Al-Quran jika tidak pun tahu akan maksud bacaan dalam solat kita.

“Emm…begini makcik, izinkan saya memberikan cadangan, boleh ?” pinta saya untuk memberikan beliau sedikit ruang bagi menilai semula permintannya.

“Boleh Ustaz, boleh, silakan.” Jawab beliau dengan penuh semangat.


“ Pada pendapat saya, niat makcik tadi tu sangat bagus dan saya puji untuk belajar Al-Quran beserta dengan maksud ayatnya sekali. Tapi alangkah lebih baiknya jika dapat membaca Al-Quran itu dengan sebutan yang fasih makhrajnya, tajwid yang betul serta lancar terlebih dahulu dan kemudian disusuli dengan memahami maksud kandunagn ayat-ayatnya.” Jelas saya sekadar meutarakan pandangan.

Bijak mengenal kelemahan diri dan membuat keputusan mengikut keutamaan.

              Bukan tujuan saya untuk memperkecilkan apa lagi menyekat niat murni makcik tadi, tapi sekadar ingin membantu beliau untuk membuat pilihan perkara yang wajar beliau dahulukan. Belajar makna-makna ayat Al-Quran dalam keadaan diri kita tiada asas dan pengetahuan tentang Al-Quran tersebut ibarat memandu kereta sambil memejamkan mata, akibatnya adalah fatal. Kehendak beliau ingin memahami setiap perkataan Arab yang terdapat di dalam Al-Quran, tetapi beliau harus lihat kepada keperluan dan keutamaan diri terlebih dahulu.

             Mempelajari makna setiap lafaz di dalam Al-Quran adalah memerlukan sekurang-kurangnya asas bahasa Arab agar memudahkan proses pembelajaran seseorang dan ia bukannya memakan masa sebulan dua bahkan memerlukan masa bertahun-tahun. Yang jelas kewajiban beliau sebagai seorang Muslimah ialah mempelajari membaca Al-Quran dengan sebutan yang tepat, tajwid yang betul dan lancar, kemudian barulah memulakan untuk mempelajari Al-Quran beserta maknanya.

Seperkara lagi, sekadar untuk dijadikan iktibar bersama, apabila suatu hari saya pernah didatangi  pelajar dan mengadu bahawa ibu bapanya tidak boleh membaca Al-Quran tetapi setiap hari hanya membaca makna terjemahan Al-Quran sahaja.

Iktibar dari kejadian tersebut saya tidak ingin hasrat murni makcik yang menelefon saya tadi  dijadikan sebagai excuse (alasan) yang hanya ingin mengetahui makna ayat atau perkatan tanpa mempelajari membaca ayat suci Kalamullah tersebut. Sebagai tenaga pengajar wajib bagi saya mendorong pelajar saya dalam membuat keputusan dengan tepat untuk kebaikan dirinya disamping mengajar mereka untuk membuat pilihan yang mana satukah awlawiyat (keutamaan) yang lebih besar.

*Insya Allah, esok saya akan memberikan tips-tips untuk persediaan melangkah ke Gerbang Bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment