My Blog List

Thursday, 31 March 2011

Monolog Hatiku Sepanjang 2 Hari Ini...

Nukilan buat ayahku.....

                    Kasih ibu tiada tandingan, kasih bapa jangan dilupakan. Mungkin anda juga sama seperti saya, lebih rapat dengan ibu kita berbanding bapa Segala permasalahan lebih banyak diluahkan dan dikongsi dengan ibu kita. Biasanya bapa disifatkan sebagai tegas, garang dan ditakuti oleh anak-anak. Walaubagaimanapun ia tidak bermaksud mereka jahat atau bengis. Jangan sesekali kita terlupa bahawa jasa dan jerih payah usaha beliau serta pengorbanan ayah ketika membesarkan kita.

                    Jangan...jangan sedikit pun terdetik di hati kita untuk menafikan akan ketelusan dan keikhlasan ayah kita dalam melihat anaknya membesar dan berjaya sehingga ke hari ini. Ayah dan ibu kita ibarat kedua kaki kita. Saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain berfungsi bagi membolehkan kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Melompat, mengimbangi struktur badan kanan dan kiri, berjalan, berlari dan sebagainya dengan sempurna. Bayangkan jika kita hanya punya satu kaki sahaja bagaimana?

                    Ya, memang tidak syak lagi sabda Baginda Rasulullah S.AW menyebutkan tentang afdhalnya memuliakan ibu itu sehingga ianya diulang-ulang sebanyak 3 kali berbanding ayah yang hanya sekali dalam hadis beliau. Walau hanya sekali, ia tidak membawa maksud untuk kita men"double-standard"kan kedukukan ayah dalam hidup kita.

                    Kejamnya manusia hari ini berlumba-lumba untuk menghantar ayah dan ibu mereka ke pusat jagaan orang-orang tua. Mereka berpendapat, orang tua itu  hanya memberi bebanan dan menyusahkan dikala mereka sedang memacu rancak dalam mengapai impian mereka. Meeting, out-station, dinner client dan sebagainya, semua itu adalah lebih penting dari melihat wajah kedua orang tuanya. Tiada masa dan membosan katanya.

                    Wahai anak-anak Adam, sedarkah kamu bahawa dengan melihat wajah kedua ibu bapa kamu itu dengan pandangan yang penuh kasih sayang akan melahirkan sakinah dan rahmah?

Ucapan Selamat Hari Raya Yang tidak bermakna lagi....

                    Sejak kecil lagi, apabila tiba hari perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha saya akan sibuk menekan butang  remote control tv, mencari satu slot rancangan ucapan khas Selamat Hari Raya dari  rangkaian tv. Bukan untuk mencari rancangan hiburan tetapi mencari sesuatu paparan reality yang memaparkan nilai kemanusiaan yang telah hilang dari dalam diri makhluk yang bernama ANAK.

                    Air mata saya mengalir berlinangan dari kelopak mata yang sudah tidak dapat menampung genangannya sejak rancangan itu disiarkann lagi. Kisah seorang ibu yang berusia 80 tahun, sudah  uzur dan berbongkok tiga melahirkan rasa kekesalan terhadap anaknya yang begitu tega meninggalkan beliau yang telah melahirkan, menyusukan, membesarkan, menguruskan kencing beraknya, bersengkang mata siang malam dikala sakit demamnya dan ianya diakhiri dengan episod lara. Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua adalah penyudahannya. Si tua itu seperti marah-marah "Aku tak punya anak macam dia. Dia bukan anak aku lagi..!" sambil memalingkan badannya di katil tanda dirinya tidak mahu lagi ditemu bual.

                    Belum lagi lembaran kisah duka seorang ayah yang berusia 77 tahun, diperdaya si anak syang tidak berhati perut setelah mendapat grant tanah  pusaka milik ayahnya. Beliau telah dijanjikan anaknya untuk ditempatkan di rumah jagaan orang-orang tua tersebut  kononnya hanya untuk seketika sahaja, sementara dia bersama isteri tercinta melancong ke luar negara setelah berjaya meraih harta yang kini miliknya. 

                    Ibarat pungguk merindukan bulan, hari berselang minggu dan bulan silih berhanti dan akhirnya penantian tiada penhujung. Si ayah tadi berkata "Walau apa pun yang dia (si anak) telah lakukan terhadap aku, aku tetap maafkan dia...." sambil mengusap air matanya yang sedikit terbit di kelopak mata beliau.  Mungkin ia sudah hampir habis kekeringan. Kekesalan jelas terpancar dari wajah seorang ayah yang diperdaya anak kandungnya sendiri. Itulah Cinta Tanpa Syarat kedua orang tua kita yang tidak mahukan balasan apa-apa dari anak-anak mereka.

                    Mereka tidak mahukan balasan harta kita. Harta tiada nilainya lagi bagi mereka kerana umur mereka kian senja. Yang mereka mahukan adalah kasih sayang, perhatian, dan masa untuk bersama. Mungkin mereka berasa kesunyian dikala meniti saki baki usia yang kian berakhir. Tidakkah kita perasan tatkala kita pulang ke kampung mereka suka bermain, menimang, mencium anak-anak kita yang comel?

                     Dibenak hati mereka sebenarnya sangat gembira dan menggambarkan detik manis menyambut cahaya matanya suatu ketika dahulu iaitu kita. Pernahkah kita melihat hubungan opah dengan cucu atau atuk dengan cucu begitu intim sekali? Expresi yang ditunjukkan sebenarnya adalah menunjukkan mereka ingin mengimbau semula saat-saat manis bersama si kecil berdampingan, tidur bersama, dimandikan, disuap ketika makan dan sebagainya adalah reflection kepada diri kita. Kemudian kita pulang semula ke hutan batu di bandaraya dan tidak menjengok mereka berminggu-minggu ada kalanya berbulan-bulan. Ada di antara mereka yang jatuh sakit kerana sakit rindu pada reflection cucunya (kita).

                      Wahai Anak, janganlah kita tergolong dalam senarai orang yang

Virus Si Tanggang Moden Diarus Pembangunan

                    "Dahsyatnya anak-anak muda zaman sekarang kan Ustaz ?" soal pelajar saya seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang gemar berbincang dan berkongsi mini-forum isu-isu semasa bersama saya, suami dan anak lelakinya seusai mengjar Al-Quran. 

                    Kerisauan jelas terbit dari bibirnya setiap kali membincangkan soal sosial dikalangan anak-anak muda di negara kita. Alhamdulillah anaknya Qayyum 11, adalah sorang yang pintar dalam pelajaran, selain pandai bertutur bahasa Jepun juga lancar dalam mengaji Al-Quran beserta tajwid. Kini sudah setahun lapan bulan beliau bertalaqqi Al-Quran dengan saya dan sudah masuk juzuk yang ke-20. 

                    Ibu bapa seharusnya tidak memfokuskan anak mereka kepada akademik semata. Sewajibnya (bukan sharusnya) mengimbangi akademik anak-anak mereka dengan pendidikan rohani. Jika anda berpeluang membaca akhbar mingguan I LUV Islam keluaran April edisi 1-7 haribulan, tajuk utama di halaman hadapannya ialah ; Ramai Ramaja Tidak Selesai Fardhu Ain. 

                    Ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab mendidik anak hanya kepada guru di sekolah semata. Matapelajaran Pendidikan Islam di sekolanh yang berlangsung selama  1 jam sahaja belum mampu untuk memahamkan apa yang dipelajari mereka.

                    Pihak kerajaan juga tidak sepatutnya lepas tangan dalam membendung gajala sosial yang kian meruncing membabitkan remaja Muslim. Jangan pembangunan material sahaja yang dikejar tetapi pembangunan rohani generasi muda Muslim diabaikan. 

                    Kenapa saya berpandangan begitu? Lihat sahaja hiburan yang berleluasa disajikan di sana-sini. Tidak kira konsert secara percuma atau berbayar, karnival hiburan, pertandingan nyanyian, bakat mencari model dan sebagainya mengajak anak-anak kecil leka dengan sajian dunia hedonism. Mereka akan  lebih cenderung untuk meminati rancangan Idola Kecil sebelum mereka mengenal Al-Quran." Benarkah Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?" Tepuk Dada Tanyalah Selera. Jangan salahkan anak-anak kita jika kita sendiri yang telah membuat keputusan untuk mereka menjadi sebegitu.

                    Dulu kita pernah tahu kisah anak gadis bertudung, hafaz Surah Yassin, bersopan santun yang bernama Siti Aisyah Bt. Bukhari. Rasanya tak perlu dituliskan di sini kerana ramai yang telah maklum, tetapi sekadar mengambil pengajaran dari peristiwa tersebut bahawa walau  hebat manapun didikan agama  yang telah diberikan di rumah dan di sekolah, mereka masih terdedah dengan pelbagai ancaman  fikrah di luar sana yang penuh dengan pancaroba.

                    Setiap hari ada sahaja kes anak tikam emak, anak pukul emak pakai tukul besi kerana tidak memenuhi kehendaknya untuk memiliki motorsikal, menetak ayah sendiri dan sebagainya. Berita-berita yang menyedihkan ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Virus Si Tanggang Moden ini semakin menular dalam jiwa anak-anak muda. Faktor Kemiskinan Bandar, kesempitan kewangan, kepincangan dalam institusi rumah tangga sering menjadikan mereka semakin tidak terkawal.

                    Jika anak dididik oleh ibu bapa mereka sendiri dengan cara ibu dan bapa mempraktikkan sifat saling menghormati, solat berjamaah, mengajar anak untuk bersyukur, mencontohi kehidupan muslim sepertimana yang dituntut oleh Islam, maka anak akan terbentuk hasil dari tarbiah ibu bapa mereka. Jika suami isteri saling menghormati sesama mereka, bermakna ibu bapa telah mencerminkan contoh yang terbaik buat anak-anak mereka disusuli ibu bapa juga menghormati anak-anak mereka maka si anak juga akan menghormati mereka kerana anak-anak dapat merasakan keharmonian dan kasih sayang dalam keluarga mereka.

                    Sebaliknya jika ibu bapa sering bergaduh, mengajar anak-anak dengan sepak terajang, maki seranah, bagaimana anak ingin hormat kepada kedua ibu bapa mereka? Kuncinya ada pada kedua ibu bapa kerana mereka adalah ibarat cermin kepada mereka. Ibu bapa adalah qudwah (ikutan) bagi anak-anak mereka. Ibu bapa yang gagal adalah mereka yang tidak berjaya menjadikan diri mereka Parents Idol kepada anak-anak mereka.

                    Setiap perkataan kita adalah merupakan doa. Jika ibu bapa sering mengherdik anak mereka bodoh, bebal, kurang ajar, degil maka sebenarnya mereka sedang berdoa supaya memohon anak-anak mereka untuk menjadi sepertimana ucapan doanya tadi. Nau'zubillah.

Wahai Ummi dan Abi you are my heros and my idols.

2 hari bersama Abi....

                    Abi adalah panggilan saya kepada ayah saya sejak kecil. Dulu saya selalu rapat dengan Ummi (panggilan ibu saya) lebih daripada abi.

                    Kalau dulu Abi marah-marah, ummi adalah tempat untuk saya berlindung dan mengadu. Maklumlah dulu kecil saya ni nakal sedikit. Dulu saya pernah dirotan dengan Abi, tapi semua itu adalah disebabkan kenakalan saya dan bukan kerana Abi bersikap baran.

                    Abi adalah seorang yang warak dan tegas. Sewaktu beliau mengajar mengaji di rumah, kami adik beradik sangat seronok kerana sepupu-sepapat , anak jiran tetangga turut mengaji bersama. Ramailah kawan. Suatu hari, setelah selesai mengaji tiba-tiba lampu terpadam (black-out) budak-budak semua jadi kecut dek kerana gelap gelita kami menggantikan cahaya neon itu dengan pelita.

                    Dalam suasana yang samar-samar itu, Abi cuba tenangkan kami dan menggantikan sesi mengaji dengan pelajarn yang lebih santai iaitu kisah para nabi untuk mengurangkan ketakutan kami semua. Sedang seronok mendengarkan cerita tiba-tiba Rosman (kawan saya) berbisik. "Cuba kau lihat tu...!" sambil tangannya menunjukkan suluhan cahaya lampu suluh dan spot-light di beberapa tiang lampu di hadapan rumah saya.

                    Tiba-tiba..."Zap..zap..Aduh, pedihnya!" Seperti ada sesuatu yang melibas di badan dan betis saya. Terasa pedih dan perit sekali. Rupa-rupanya ayah terdengar bisikan kami tadi yang telah mengganggu penceritaan yang sedang beliau sampaikan.

                     Malam itu saya telah melarikan diri ke belakang pintu bilik tidur dan menangis sepuas-puasnya sambil mengusap biratan rotan yang dilibas tadi . Sakitnya tidak terkata. Perasaan  saya pada waktu itu  memang terasa marah terhadap Abi kerana ia adalah tidak adil. Yang bersuara adalah Rosman dan bukan saya, kenapa pula saya yang dihukum? Saya menyoal diri saya kebingungan berkali-kali. Peristiwa itu telah membekas dalam minda saya sehingga ke hari ini. Tetapi adakah saya berdendam dengan Abi? Jawapannya tidak, walau ia telah meninggalkan bekas dalam hati dan ingatan tetapi saya menganggap ia sebagai satu memori manis sewaktu zaman kanak-kanak dulu kerana memori itu telah pergi dan bersemadi bersama-bersama  sahabatku yang bernama Rosman. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah u wahai sahabtku. Al-Fatihah.

                    Dewasa merubah pengalaman kasih sayang kita. Betul kata Ustaz Hasrizal, bahawa cinta ayah dan bonda adalah Cinta Tanpa Syarat. Anak hanya dapat mengenal Cinta Ibu Bapa mereka apabila telah boleh berfikir tetapi ibu bapa, terutama ibu telah memberikan kasih sayangnya sejak si anak dalam kandungan rahimnya lagi, sejak si anak belum pandai untuk berfikir, dan mereka hanya akn mengenali cinta itu apabila mereka sudah dewasa, itulah Cinta Tanpa Syarat.

                    Hari Jumaat bertarikh 25 Mac 2011 adalah tarikh Abi di masukkan ke Wad Bunga Raya, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Sebenarnya beberapa hari sebelum itu Abi kelihatan resah, mungkin beliau khawatir tantang pembedahan yang bakal dijalankan ke atas beliau pada hari Isnin nanti. Saya pula terlalu sibuk dengan jadual kerja yang sangat padat pada hujung minggu. Jumaat, Sabtu dan Ahad dari seawal 7.30 pagi sehingga pukul 11 malam jadual kelas, saya selesaikan satu persatu sehingga tiada berkesempatan untuk menziarahi Abi di IJN.

                    Walaupun mengajar, jiwa saya tidak tenteram sebenarnya, "Ya Allah, Janganlah kau uji aku dengan dugaan yang berat. Janganlah Engkau golongkan Aku bersama golongan Anak Derhaka. Abi Maafkanlah Anak mu ini.." Rintih hati ini. Abang, adik dan kakak telah silih berganti menjaga Abi. Sehingga hari ke-4, kelibat saya juga yang tidak muncul tiba.

                    Tiba-tiba Abang Daud call menawarkan dirinya untuk menjaga Abi kerana dia sudah mengambil cuti 2 hari untuk menjaga Abi. Saya terkilan lagi. Keesokkan harinya saya telah bertekad untuk mengambil cuti sebagai ganti bekerja Sabtu dan Ahad. Saya berpesan kepada pelajar-pelajar saya untuk menangguhkan kelas keminggu yang akan datang dan bergas ke IJN.

                    Seawal jam 7 pagi saya telah bertolak dari Bandar Baru Bangi menuju Kuala Lumpur. Alhamdulillah perjalanan lancar walupun kelihatan sesak dalam menempuh lautan besi kereta di lebihraya  Kuala Lumpur. Lebuhraya altternatif SMART juga tidak terkecuali dengan sesaknya kenderaan di dalam terowong bawah tanah itu.

                    Saya tiba di IJN tepat pada jam 9 pagi. Abi tersenyum lebar sewaktu saya memberikan salam kepadanya. Begitu juga dengan Abang Daud yang tidak jemu menemani beliau sejak semalam. Saya bersalam dan mencium tangan Abi dengan penuh keinsafan dan memohon kemaafan kerana terlalu mementingkan kerja dan kerjaya saya. Jika pada ketika itu saya membawa rotan akan saya relakan untuk abi menghukum saya buat kali kedua. Saya rela.

                    Abg Daud telah memberitahu keputusan pemeriksaan yang telah diberikan oleh doktor semalam. Wajah Abi kelihatan sedikit sugul sewaktu Abang Daud menerangkan x-ray jantung Abi kepada saya. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa saluran darah Abi telah tersumbat dan doktor telah mencuba 2 tempat iaitu di tangan dan saluran darah di bahagian kaki tetapi tetap gagal. Doktor telah membuat kesimpulan bahawa tiada cara lain untuk mengatasi masalah artery yang telah tersumbat itu melainkan melalui cara pembedahan.

                    Saya juga berasa sedih dan simpati terhadap Abi. Dalam usianya merangkak senja itu, adakah beliau masih kuat untuk menghadapi semua itu? Saya cuba menenagkan perasaan beliau, meyakinkan bahawa dirinya kuat untuk berhadapan dengan ujian Allah ini.

2 Hari Yang Menggembirakan

                    Abi ingin berjalan-jalan ke luar wad sambil ditemani oleh saya. Terima kasih Abang Razak kerana telah menempatkan Abi di 1st class ward. Saya tidak jemu-jemu menemani Abi berborak selama berada di wad. Ke lobby saya pimpin, ke tandas,naik katil, duduk di kerusi saya bantu. Pakaian Abi saya tukarkan, buah-buahan yang diberi oleh sanak saudara yang berkunjung saya kupaskan dan potong kecil-kecil supaya mudah dikunyah Abi yang giginya sudah tidak kuat lagi untuk mengunyah makanan yang keras.

                    Jam 12.10 tengahari jururawat masuk ke bilik dan menanggalkan jarum yang terlekat di tangan kanan dan kiri abi sejak 15 jam yang lalu. Tidak lama kemudian seorang lagi nurse masuk dan memberitahu bahawa Abi telah dibenarkan keluar dari ward pada petang itu juga.

                    Alhamdulillah. Abi dan saya, kami saling berpandangan dan senyum. Mungkin Abi sudah tidak betah duduk 5 hari di wad yang membosankan kerana tidak dapat menghirup udara segar, melihat permandangan hijau pohon yang sangat sinonom dengan beliau sewaktu mudanya. Abi terkenal dengan sikap rajinnya bercucuk tanam. Minatnya dalam bercucuk tanam membuahkan hasil sehingga beliau berjaya mendapatkan grant tanah sebagai seorang peneroka sebidang tanah di Bukit Cherakah.

                    Abang Ibrahim datang untuk membawa Abi pulang dengan keretanya, sementara saya membawa barang-barang Abi, beg pakaian dan sebagainya dengan kereta SLK yang saya pandu. Nak tahu apa itu kereta SLK saya? it just a Small Little KAR = Kancil. Dr.A.O yang ajar saya... hahahaha.

                    Setiba di rumah pada petang itu Abi sudah tertidur kepenatan. Ummi dan Kak Rozi memunggah barang-barang dari dalam beg untuk mengasingkan barang-barang yang telah di bawa.

                    Cuti sempena menemani Abi dan Ummi amat membuatkan saya begitu tersentuh. Pagi-pagi lagi uncle Maazim telah datang untuk berziarah. Kebetulan saya dan Ummi baru sahaja pulang dari membeli keperluan dapur untuk makan tengahari. Sewaktu dipasar saya sibuk menolong Ummi memilih ikan, sayur-sayuran dan bahan yang lain. Saya cepat-cepat membayarkan jumlah keseluruhan barang yang dibeli.

                    Rasa kepuasan tersemat bila kita sendiri yang dapat menanggung kos makan minum ayah ibu kita. Kalau nak dinilai dengan wang ringgit mamng tidak tertanding dengan jasa mereka berdua. Saya berasa seronok sekali biarpun pendapatan saya tidak seberapa tetapi saya seronok membahagiakan orang tua saya. mingkin ia tidak seberapa pada pandangan mata orang lain tapi bagi saya ia adalah suatu kepuasan maksima dari perkara yang lain saya belanjakan.

                    Di rumah apabila Ummi dan Abi sibuk melayan tetamu yang tidak henti-henti berkunjung ,saya pula sibuk di dapur menyediakan minuman dan kuih muih untuk dihidangkan kepada tetamu. "Assalamualikum....maaf, airnya cuma air tangan orang bujang sahaja." salam saya tersipu-sipu. "Wah...ini yang sedap ni, jarang dapat minum air tangan orang bujang.." usik uncle Maazim. Kehadiran uncle memeriahkan suasana pagi itu. Abi pun tersenyum juga. Dalam adik beradik Abi hanya Pak Cik Maazim sahaja yang kami panggil dia dengan panggilan uncle dari dulu lagi.

                    Tengahari saya sibuk membantu Ummi menyediakan makanan tengahari untuk Abi. Sewaktu hidangan sudah sedia saya sibuk melayan Abi tak ubah layanan seperti di hotel. Tuangkan air, potongkan kepingan ikan, tuangkan kuah semuanya diiringi dengan senyuman. Seronoknya.

                   Selesai makan kami solat Zohor bejemaah bersama-sama. Sejak Abi tidak dibenarkan memandu, Abi hanya bersolat di rumah kerana masalah kesihatan. Sebelum ini setiap kali pulang dari surau beliau akan mengadu sakit di dada, tangan dan kakinya menjadi sejuk, membuatkan kami sekeluarga panik. Sebenarnya kesihatan jantung Abi sudah merosot dan tidak segagah dulu lagi.

                    Senja telah melabuhkan tirainya. Setelah kami selesai solat berjemaah berimamkan saya, saya bergegas untuk pulang ke Bnagi kerana esok saya akan bekerja seperti biasa.Saya meminta izin kepada Ummi dan Abi. Sambil bersalaman saya mencium tangan Abi dan Ummi.

                    Entah mengapa setiap kali ingin pulang ke Bangi saya akan terasa sebak sangat di hati ini sehinggakan air mata mengalir ke pipi tanpa disedari. Padahal Bandar Baru Bangi dan Klang bukannya jauh sangat pun. Tapi mungkin perasaan saya sangat berat untuk meninggalkan Ummi dan Abi di kampung  berduaan, tidak sanggup melihat mereka berdua merusaha untuk meneruskan kehidupan sebegitu.

                    Sepatutnya seusia mereka sudah patut dilayan seperti waktu kita bayi dahulu kerana upaya mereka berdua semakin merosot, seprti bayi juga kudratnya terbatas. Mengemas, membasuh, memasak semuanya harus diurus bukannya tidak terurus. Sempat saya bekalkan sedikit wang sewaktu bersalaman dengan Abi dan Ummi. Mereka menolak dengan alasan gaji saya tidak besar, dan kehidupan saya juga hanya cukup-cukup makan. Simpanlah dan gunakanlah duit itu untuk kegunaan harian saya.

                    Saya berkeras untuk memberi wang itu kepada Ummi dan Abi dan saya memberitahu mereka ia adalah suatu penghargaan yang amat besar buat saya sekiranya mereka menerima duit itu. Bagi saya rezeki Allah itu boleh dicari ganti tetapi kasih sayang Ummi dan Abi tiada galang gantinya. Tiada yang dapat saya ungkapkan selain memanjatkan kesyukuran di atas sifat Rahimnya makan Engkau ampunkanlah dosa-dosa  mereka berdua. AMIN.

                    Saya selalu mengharapkan semoga bakal isteri yang akan saya nikahi nanti dapat mengasihi Abi dan Ummi sepertimana dia mengasihi ayah dan ibunya sendiri dan sebaliknya juga diri saya. Ya Allah, sekiranya si dia itu adalah jodoh yang engkau taqdirkan buat diriku, maka engkau tanamkanlah bibit-bibit mahabbah dalam diri kami supaya melahirkan generasi yang Birrul Walidain (anak soleh & solehah) sepertimana Usrah Luqmanul Hakim. Amin Ya Robbal A'lamin.

* Nukilan ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau membuka pekung di dadaku, tetapi ia adalah sekadar luahan isi hatiku yang ingin aku kongsikan bersama sahabat-sahabat yang benar-benar menganggap diri ku ini sebagai sahabatnya. Bukankan susah dan senang kita kongsikan bersama?

Monday, 28 March 2011

Memohon Kemaafan & Bebakti Kepada Orang Tua

 Assalamualaikum.......

Kepada sahabat-sahabat yang mengunjungi blog Bahasa Arab Interaktif ni saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian lawatan anda semua ke blog ini. Dan dengan kesempatan ini saya ingin memohon ribuan kemaafan di atas penangguhan blog ini buat seketika kerana terpaksa berjauhan dari komputer disebabkan terpaksa menemani ayahanda tercinta yang kini sedang dirawat di Wad Bunga Raya Institut Jantung Negara kerana mengidapi masalah jantung.

Walau apa pun saya akan memperbaharui blog ini apabila sekembalinya ke meja komputer saya. Hanya doa dari sahabat-sahabat memohonkan doa semoga ayah saya cepat sembuh, Amin. Jangan lupa membuat ulangkaji Bahasa Arab, Bahasa Ahli Syurga.

الى اللقاء,
Mu'allim Omar.

Friday, 25 March 2011

Tips-tips Belajar Bahasa Arab


TIPS PERTAMA: Reprogram Minda Anda

“Alah…kusutnya kepala ni. Susah betul nak ingat, faham lagilah susah.” rungut seorang pelajar Tingkatan 5 yang sedang mengulangkaji matapelajaran Bahasa Arab bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan datang.

“Manalah makcik nak ingat lagi Ustaz, dah tua-tua macam ni lebih banyak terlupa daripada mengingat.” keluhan yang biasa saya dengar dari golangan dewasa yang masih bersemangat untuk belajar.

           Dari kedua-dua keluhan di atas kita dapati bahawa mereka mengalami kepayahan dalam mempelajari bahasa Arab. Mungkin bukan mereka berdua sahaja yang mengalami masalah seperti ini, mungkin kita juga mengalaminya.

           Kehidupan kita sebenarnya dikelilingi oleh inspirasi dan kita selalu menginginkan peluang-peluang yang ada untuk mencapainya. Peluang-peluang itu pula seringkali tidak dapat diraih dek kerana banyaknya kelemahan dalam diri kita. Kita ingin pandai bercakap, menulis, membaca dan menguasai bahasa Arab dengan baik. Kadang-kadang kita sudah mencuba dengan menghadiri kelas intensif, menjemput ustaz datang ke rumah mengjar, mengikuti kelas yang disediakan pihak masjid, tetapi hasilnya tetap sama. Tiada perubahan. Di manakan silapnya?

           Di dalam dunia ini tiada istilah aku pandai, engkau bodoh. Kita tidak bodoh. Allah A’zza wa Jalla telah menciptakan manusia itu sebagai satu makhluk yang sangat istimewa. Rupa bentuk paras yang sempurna, dikurniakan akal fikiran yang sihat dan ulama’ juga telah membuat perbandingan “Yang membezakan antara manusia dengan haiwan itu adalah akalnya.” Makhluk Allah yang bernama manusia itu semua pandai dan cerdik semulajadi. Hanya tahap IQ nya sahaja yang berbeza-beza.

Ibrah Penciptaan Nabi Adam A’laihissalam

           Nabi Adam Alaihissalam apabila pertamakali diciptakan (ditiupkan roh ke dalam jasad) beliau tidak tahu apa-apa. Kemudian Allah Subahanahu wa Ta’ala telah memerintahkan malaikat Jibril Alihissalam untuk mengajarkan kepada nabi Adam mengenal benda-benda di dalam syurga sehingga nabi Adam A’laihissalam menjadi makhluk yang bijak. Sudah semestinyalah bahasa komunikasi yang digunakan di dalam syurga itu tidak bukan adalah bahasa Arab.

           Mungkin kita akan berkata “Nabi Adam itu nabi, kita ni manusia biasa”. Jika kita terdetik ungkapan tadi itu sebenarnya menunjukkan bahawa minda kitalah yang bermasalah. Diriwayatkan ketika proses pembelajaran di syurga itu berlaku, nabi Adam A’laihissalam tidak jemu-jemu berhenti bertanya, menunjukkan kesungguhan dan keinginan beliau yang tinggi sewaktu mempelajari setiap sesuatu yang baru untuk mindanya. Jadi tidakkah kita dapat mengambil pengajaran dari penciptaan Agung Allah Subahanahu wa Ta’ala ke atas bapa umat manusia tersebut?  

Kejayaan Kita Bermula Dari Langkah Yang Pertama

“ Dah cuba dah, tapi masih tak boleh-boleh…” suara kecil hati kita bebicara.

           Perlu disedari bahawa akal kurniaan Allah kepada kita ini perlu diuruskan dengan baik. Perlu diprogramkan dengan betul. Jika sebelum ini kita pernah melalui episod kegagalan demi kegagalan dalam hidup kita, mulai sekarang ini kita perlu deletekan episod kegagalan tersebut dan kita perlu reprogramming semula minda kita (set-up) bahawa “Tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan.” 

           Kita perlu belajar mengubah cara berfikir kita dari yang negatif kepada perkara yang lebih positif. Perlu diketahui bahawa otak kita memiliki kuasa vibration and attraction. Jika minda kita memikirkan perkara yang negatif maka natijahnya adalah tindakan yang negatif dan begitu juga sebaliknya. Jika kita asyik memandang kelemahan diri maka akan tertutuplah usaha untuk mencapai apa juga matlamat.

           Rahsia setiap kejayaan itu adalah bermula dari langkah yang pertama iaitu berusaha untuk berubah diri dan berfikir dengan positif. Jika selama ini kita hanya memandang kelemahan diri kita tanpa mencari di mana potensi dan kekuatan diri sendiri, mulai hari ini kita berusaha mencari rahsia kekuatan itu dalam diri kita. Ubah teknik dan cara kita belajar, lebihkan usaha, cari guru yang berpengalaman sebagai rujukan, cari kawan-kawan yang juga inginkan perubahan kepada positif. 

           Kesemua perkara di atas memerlukan kepada tindakan. Jika kita hanya pasang niat tetapi tiada apa-apa tindakan ia akan menjadi seperti apa yang saya sebutkan sebelum ini “ia hanya akan menjadi angan-angan kosong”. Tindakan untuk mencapai sesuatu matlamat itu kita perlu disusuli  dengan tindakan yang bergungguh-sungguh. Untuk pandai dalam bahasa Arab anda perlu berusaha lebih gigih, focus, hadiri kelas-kelas intensif, belajar berguru bukan hanya dengan buku dan jangan lupa disertai dengan doa.

           Kesimpulannya jangan pandang kelemahan diri, kerana ia akan menghalang kita untuk mecapai matlamat (kejayaan) tetapi sebaliknya carilah kekuatan dalam diri kearana ia akan menyerlahkan keyakinan dalam diri “say nothing impossible”. Ubah cara kita berfikir, berfikir positif dan lupakan kegagalan yang lalu. 

Ubahlah cara berfikir anda pasti anda akan berjaya Insya Allah.

*Jangan lupa untuk mendapatkan Tips Yang Kedua: Melangkah Ke Gerbang Bahasa Arab Anda.

Thursday, 24 March 2011

Bahasa Al-Quran: Antara Keperluan Dan Kehendak



“Assalamualaikum Ustaz, saya teringin nak belajar Al Quran lah beserta maksud perkataannya sekali.” tanya seorang makcik kepada saya ketika perbualan ditelefon.

“Alhamdulillah…baguslah tu makcik, seelok-eloknya memang begitulah. Sebagai orang Islam kita digalakkan mempelajari bahasa Al-Quran supaya dapat memahami isi kandungannya.”saya membalas.

“Tapi Ustaz, saya ni membaca Al-Quran ni tak berapa reti. Kalau sekadar kenal-kenal huruf tu bolehlah.” sambungnya.

             Saya sedikit terkejut dengan kata-kata makcik tersebut, hajat beliau sangat mulia untuk mempelajari makna setiap patah di dalam Al-Quran, cuma dia tidak tahu dimana sepatunya dia mulakan. Perkara seumpama ini juga mungkin berlaku kepada diri kita, sebagai seorang Muslim kita tidak terlepas dari mempunyai rasa keinginan yang tinggi untuk memahami isi kandungan Al-Quran jika tidak pun tahu akan maksud bacaan dalam solat kita.

“Emm…begini makcik, izinkan saya memberikan cadangan, boleh ?” pinta saya untuk memberikan beliau sedikit ruang bagi menilai semula permintannya.

“Boleh Ustaz, boleh, silakan.” Jawab beliau dengan penuh semangat.


“ Pada pendapat saya, niat makcik tadi tu sangat bagus dan saya puji untuk belajar Al-Quran beserta dengan maksud ayatnya sekali. Tapi alangkah lebih baiknya jika dapat membaca Al-Quran itu dengan sebutan yang fasih makhrajnya, tajwid yang betul serta lancar terlebih dahulu dan kemudian disusuli dengan memahami maksud kandunagn ayat-ayatnya.” Jelas saya sekadar meutarakan pandangan.

Bijak mengenal kelemahan diri dan membuat keputusan mengikut keutamaan.

              Bukan tujuan saya untuk memperkecilkan apa lagi menyekat niat murni makcik tadi, tapi sekadar ingin membantu beliau untuk membuat pilihan perkara yang wajar beliau dahulukan. Belajar makna-makna ayat Al-Quran dalam keadaan diri kita tiada asas dan pengetahuan tentang Al-Quran tersebut ibarat memandu kereta sambil memejamkan mata, akibatnya adalah fatal. Kehendak beliau ingin memahami setiap perkataan Arab yang terdapat di dalam Al-Quran, tetapi beliau harus lihat kepada keperluan dan keutamaan diri terlebih dahulu.

             Mempelajari makna setiap lafaz di dalam Al-Quran adalah memerlukan sekurang-kurangnya asas bahasa Arab agar memudahkan proses pembelajaran seseorang dan ia bukannya memakan masa sebulan dua bahkan memerlukan masa bertahun-tahun. Yang jelas kewajiban beliau sebagai seorang Muslimah ialah mempelajari membaca Al-Quran dengan sebutan yang tepat, tajwid yang betul dan lancar, kemudian barulah memulakan untuk mempelajari Al-Quran beserta maknanya.

Seperkara lagi, sekadar untuk dijadikan iktibar bersama, apabila suatu hari saya pernah didatangi  pelajar dan mengadu bahawa ibu bapanya tidak boleh membaca Al-Quran tetapi setiap hari hanya membaca makna terjemahan Al-Quran sahaja.

Iktibar dari kejadian tersebut saya tidak ingin hasrat murni makcik yang menelefon saya tadi  dijadikan sebagai excuse (alasan) yang hanya ingin mengetahui makna ayat atau perkatan tanpa mempelajari membaca ayat suci Kalamullah tersebut. Sebagai tenaga pengajar wajib bagi saya mendorong pelajar saya dalam membuat keputusan dengan tepat untuk kebaikan dirinya disamping mengajar mereka untuk membuat pilihan yang mana satukah awlawiyat (keutamaan) yang lebih besar.

*Insya Allah, esok saya akan memberikan tips-tips untuk persediaan melangkah ke Gerbang Bahasa Arab.

Monday, 21 March 2011

KALAM MUQADDIMAH......


Assalamualaikum.

Apa khabar sahabat dan kawan-kawan semua? Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum. Laman blog Bahasa Arab Interaktif Semudah .... ا ب تini merupakan satu impian saya yang selama ini telah tertangguh beberapa kali untuk dihasilkan disebabkan oleh pelbagai faktor tugasan dan tanggungjawab harian yang mesti saya tunaikan. Atas permintaan dan feedback rakan-rakan dari Facebook saya, pada hari ini saya bertekad untuk merealisasikan impian saya itu iaitu membangunkan satu blog Bahasa Arab Inretaktif yang mana ia dapat dikongsi bersama oleh umat Islam khasnya di Malaysia dan amnya di seluruh pelusuk dunia .

Blog ini saya hasilkan bagi berkongsi pengalaman saya dalam mempelajari bahasa Arab dan dengan ilmu saya yang sedikit ini dapat saya kongsikan bersama-sama mereka yang cinta dan ingin mempelajari bahasa Arab sedari langkah yang pertama. Mungkin anda merupakan salah seorang dari ribuan atau jutaan orang yang ingin mempelajari bahasa Arab, tetapi masih tidak jelas apakah tujuan dan halatuju anda untuk mempelajari dan setelah mempelajari bahasa Arab. Tidak kurang juga ada yang mempunyai hasrat yang begitu tinggi untuk mempelajari bahasa Arab tetapi apakah langkah dan persiapannya?. Atau anda tertanya-tanya “Betul ke setelah aku belajar nanti, aku akan boleh cakap macam orang Arab? 

Persoalan demi persoalan yang sering berlegar-legar dipemikiran kita ini selalunya akan menimbulkan virus was-was yang akhirnya boleh membunuh rasa keyakinan semangat yang pada awalnya berkobar-kobar dalam diri kita menjadi semakin malap dan suram. Dan natijahnya menghasilkan jawapan; "Mungkin aku tidak mampu kot?" atau "Kalau aku belajar pun nanti nak cakap dengan siapa?" dan sebagainya. Mungkin sikap dan cara berfikir orang kita yang seperti ini selalunya menjadikan kita masyarakat yang tidak mampu berdaya saing dengan bangsa asing arus global.

Seharusnya kita sebagai umat Islam, wajib (fardhu kifayah) bagi kita mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa para ahli Jannah, bahasa komunikasi yang telah digunapakai oleh nabi junjungan Muhammad S.A.W dengan Allah, para Malaikat dan para sahabat-sahabatnya R.A. Dengan mempelajari bahasa Arab ini juga kita dapat memahami isi kandungan Al-Quran, Sunnah nabi, ilmu dan ajaran-ajaran Islam. Kita dapat membezakan perkara yang halal dan haram, yang sunat dan makruh atau mubah. Alangkah nikmatnya hidup kita sebagai mukmin yang boleh mengasai ilmu bahasa Arab. Masya Allah.


Masyarakat Islam di Amerika Syarikat pada hari ini berlumba-lumba dalam mempelajari bahasa Arab  
(ruj.ILuvIslam)

Ironinya masyarakat Islam pada hari ini tidak lagi menganggap bahasa Arab itu sebagai satu keperluan dalam kehidupan seharian mereka apatah lagi untuk mempelajarinya. Alasan demi alasan yang tidak rasional diberikan bagi memberi ruang untuk mereka menjadi golongan escapism atau kerana ia adalah sekadar fardhu kifayah. Pada realitinya kita telah mengiakan doktrin-doktrin barat yang mengandungi agenda tersembunyi dengan mencanang kepentingan mempelajari bahasa-bahasa mereka adalah menjadi keutamaan jika mahu bersaing diarus perdana. Dengan propaganda mereka ini kita akhirnya menjadi tersepit dan tiada pilihan untuk membuat keputusan. 

Adakah kita ingin berputih mata sekali lagi apabila melihat golongan bukan Islam dan orentalis berusaha keras mempelajari bahasa Arab siang dan malam demi satu misi mereka yang sentiasa berterusan iaitu menghancurkan Islam dari muka bumi ini. Sejak dari kurun ke-7 M lagi apabila kota Baghdad menjadi pusat perkembangan ilmu, para orentalis barat telah datang ke kota tersebut dan berusaha untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti fizik, kimia, falak, matematik dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini semuanya menggunakan tulisan dan bahasa pengantara tidak lain adalah bahasa Arab. Golongan orentalis ini tidak jemu-jemu berusaha untuk menguasai bahasa Arab siang dan malam, bergaul dengan masyarakat setempat untuk mempercepatkan proses penguasaan bahasa mereka. Mereka berpura-pura berperwatakan baik dan bermuka-muka untuk mengelabui mata penduduk kota Baghdad bahawa mereka mempunyai agenda tersembunyi. Usaha ini bukan memakan masa sebulan dua, malah bertahun-tahun. Jika tidak, mustahil mereka dapat mempelajari dan memahami ilmu yang dipelajarinya tersebut.

Begitu juga apabila kota Andalus yang menjadi pusat perkembangan ilmu Islam pada kuru ke-12 M dan ke-13 M, maka sekali lagi golongan orentalis ini telah menghantar pasukan cendiakawan mereka untuk menceduk ilmu orang Islam walaupun hakikatnya ilmu yang disampaikan itu bukanlah menggunakan bahasa ibunda mereka. Natijahnya usaha mereka ibarat menyelam sambil minum susu itu amat berbaloi dan telah terbukti pada hari ini. Konklusinya ialah bahasa itu bukanlah menjadi satu penghalang bagi seseorang tidak kira ia seorang muslim atau kafir untuk memndapatkan sesuatu ilmu, sebaliknya bahasa merupakan kunci gerbang kepada gedung-gedung ilmu yang sepatutnya dikuasai oleh orang-orang Islam. Seperti pepatah Arab mengatakan:
مَنْ جَدَّ وَجَدَ
“Siapa yang berusaha pasti dia akan dapat.”


Sempana tahun baru 2011 ini, marilah kita memperbetulkan niat, memperbaharui azam kita semula untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang telah diruntuhkan oleh puak kuffar terdahulu. Jika sebelum ini kita berazam untuk mempelajari bahasa Al-Quran, bahasa ahli Jannah, tetapi ia hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Atau kita telah mengikuti kelas bahasa Arab, tetapi hanya sekerat jalan yang akhirnya ibarat hidup segan mati tak mahu. Mulai detik ini bukakan mata kita luas-luas, pelajari kesilapan diri kita, sedarkan diri dari tidur lena yang berterusan. Tunaikan fardhu kifayah ini demi kepentingan diri dan umat Islam sejagat. Tepuk dada tanyalah selera anda.