My Blog List

Monday 16 May 2011

Tidak Haram Menyambut & Meraikan Hari Ibu JIKA…..

                     Sambutan Hari Ibu baru saja berlalu. Memang ramai yang tidak tahu akan asal usul perayaan tersebut bersumber dari mana. Lebih-lebih lagi bagi orang kita yang suka mengikut-ngikut tanpa usul periksa terlebih dahulu adakah ia bersumber dari ajaran agama Islam atau dari ajaran agama kufur.

                     Kita sedia maklum bahawa sambutan Hari Ibu disambut pada setiap hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei. Kita ketepikan semua cerita dongeng orang Greek itu kerana saya mempunyai pandangan saya yang tersendiri.
Pertamanya saya ingin mengemukakan sebuah hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

                     Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat). 

                     Jelas sekali kalau kita sambut Hari Ibu kita pada tarikh dan hari tersebut adalah haram kerana meniru tradisi dan ajaran agama selain Islam. Isunya adalah mengapa dalam setahun hanya satu kali atau sehari sahaja kita sambut atau raikan buat ibu kita semua? Mengapa tidak setiap hari?

                     Hubungan saya dan ibu saya sanagat rapat. Mungkin disebabkan sewaktu tinggal diluar negara dahulu terlalu lama menyebabkan saya mudah tersentuh jika terkenangkan ibu. Kini kalau boleh saya ingin membahagiakan kedua orang tua saya setiap hari.

                     Apa kata kita ketepikan tentang sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa Sedunia dan kita tukarkan dengan Sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa Setiap Hari. Saya lebih berasa bahagia sekali apabila pulang dari kerja dengan membeli barang dapur untuk ibu dan bapa saya. Dahulu, ayah mengeluarkan wang ringgit untuk berbelanja dapur. Ibu pula letih memasak, membuat pekerjaan rumah demi membahagiakan semua orang di dalam rumah kami. Apa salahnya sekarang ini giliran kita untuk mengambil alih kesemua tugasan mereka.

                     Jangan biarkan ayah terbongkok-bongkok ke kedai membeli sekilo beras dan membiarkan ibu sibuk menyediakan makanan untuk kita. Manakala kita pula bila pulang dari kerja bagaikan raja sebab kesemuanya telah terhidang di atas meja, tugas kita hanya menjamah sahaja. Itu pun jika kita mahu.

                     Ada kalanya kita pulang ke rumah dalam keadaan kekenyangan kerana baru makan di kedai bersama kawan-kawan. Nasi dijamah pun tidak lalu sebab lauk di kedai lebih sedap. Mungkin ibu kita diam kerana rela, tetapi siapa tahu dihatinya terguris satu lagi luka di atas hatinya yang penuh dengan calar parut kesan dari ucapan leser kita yang kita anggap sebagai ‘tak apa’….

                     Ada sebahagian anak-anak yang dah berjaya dalam hidup, kini tiba masanya ibu dan bapa mereka akan dihantar ke rumah penjagaan orang-orang tua. Seperti menjadi satu tradisi orang-orang yang berjaya. Ada yang lari ikut kekasih gelap, teman lelaki berhidung belang, melarikan diri ke Lombok kerana ikutkan suara halus Syaitan. Waktu itu ketepikan mak jauh-jauh, lupakan nasihat ayah, kerana bakal suami aku ini akan memberi aku jaminan kasih sayang yang lebih baik dari mereka. Na’uzubillah.

                     Apa bila tiada hari untuk meraikan sambutan Hari Ibu atau Hari Bapa maka akan ada ramai anak-anak yang tidak bertanggungjawab melepas tangan dan mengabaikan kedua ibu bapa mereka di kampong. Kononnya dulu masa nak berhijrah ke kota, akan jenguk emak setiap bulan sekali, kini nak balik beraya setahun sekali pun susah. Bawa buah tangan, tidak sama sekali.

DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:


“Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.”

Huraian:

1. Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.

2. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

3. Oleh itu bagi mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain.  

                     Dalam surah al-Isra', ayat 23 hingga 25, Allah menerangkan kepada kita supaya berbuat baik kepada mereka, maksudnya:  

"Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa”.

                     Kepada anda yang membaca petikan artikal ini, pulanglah. Ibu dan bapa anda sedang merindui anda di kampung halaman. Hari-harinya menanti kepulangan anda dengan harapan yang menggunung tinggi. Sambutlah Hari Ibu dan Hari Bapa tidak kira pada bila-bila masa yang anda suka. Jika anda mampu raikanlah Hari Ibu dan Hari Bapa kita setiap hari.

# Gambar yang tertera diblog ini adalah Ayahanda saya diambil ketika beliau terlantar di wad Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada April 2011 yang lalu.


Ku Dedikasikan Lagu Ini Buat Bondaku Tersayang 
Hajah Munjiah Binti Sairi 
Sesungguhnya Engkau Adalah Ratu Hatiku Ummi Terimalah....



Duhai Bonda

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

-oleh Nowseeheart-                                      -Muallim OMAR-

No comments:

Post a Comment